KUALA LUMPUR: Lima remaja yang bakal didakwa dengan kes yang dikaitkan dengan arwah Zara Qairina Mahathir, 13, akan tetap dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
Jaminan itu diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, sambil menegaskan perbuatan buli tidak kiralah yang berlaku di sekolah atau secara dalam talian, tidak akan pernah diterima.
“Sementara lima remaja terbabit kini berdepan pertuduhan, mereka tetap dianggap kanak-kanak di sisi undang-undang dan mesti dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
“Ini termasuk termasuk (dalam soal) kerahsiaan, hak mendapat pembelaan undang-undang serta layanan yang adil,” katanya melalui muat naik di Facebook.
Beliau berkata demikian mengulas kebimbangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mengenai identiti lima remaja yang bakal didakwa berkaitan kes buli pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Sabah itu, didedahkan kepada umum.
Melalui kenyataan media, SUHAKAM dilapor berkata perbuatan menerbitkan identiti kanak-kanak boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15 Akta 611 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
SUHAKAM turut menekankan bahawa Mahkamah Kanak-Kanak adalah mahkamah tertutup mengikut Seksyen 12 akta sama dan hanya pihak berkepentingan dibenarkan hadir dalam prosiding.
Dalam pada itu, Azalina menegaskan Kerajaan MADANI komited membanteras perbuatan buli melalui Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, pindaan Kanun Keseksaan, pengukuhan undang-undang perlindungan kanak-kanak seperti SOAC (2017–2023), Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2023, serta pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM.
Selain itu, katanya kerajaan melalui BHEUU JPM sedang mengkaji penubuhan tribunal antibuli siber dan Pesuruhjaya e-Keselamatan bagi menyediakan remedi segera kepada mangsa, pemulihan untuk pelaku, serta pendidikan keselamatan digital khususnya kepada kanak-kanak.
Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan lima remaja perempuan terbabit kes buli Zara Qairina akan didakwa di mahkamah.
Mereka akan didakwa atas tuduhan mengugut dengan mengeluarkan perkataan bersifat mengancam mengikut Seksyen 507c(1) Kanun Keseksaan.
BHonline-


