Kuala Lumpur: Seramai 57 individu mengalami kerugian hampir RM8.4 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tahyul membabitkan dana emas dan tunai didakwa bernilai puluhan bilion dolar Amerika Syarikat (AS) di luar negara.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kesemua individu terbabit adalah mangsa penipuan sebuah syarikat dimiliki seorang lelaki tempatan didakwa mempunyai gelaran Datuk Seri berusia 60-an.
“Lelaki itu mendakwa kononnya dia adalah pengurus dana bagi harta luar negara milik seorang lelaki warga Indonesia yang sudah meninggal dunia.
“Mangsa diminta untuk membuat pelaburan bagi membantu ‘mencairkan’ dana emas serta tunai bernilai puluhan billion dolar AS itu yang didakwa tersimpan di institusi kewangan di luar negara termasuk di United Kingdom (UK) dan Switzerland.
“Pelabur dijanjikan pulangan luar biasa iaitu melabur RM3,000 dapat keuntungan 1 juta dolar AS (RM4.2 juta) dalam bentuk tunai serta harta sekiranya menyertai pelaburan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat MHO, di sini, hari ini, yang turut dihadiri puluhan mangsa penipuan pelaburan berkenaan.
Hishamuddin berkata, mangsa juga memaklumkan mereka perlu melabur lebih RM150,000 untuk menubuhkan syarikat dan membuka akaun korporat yang didakwa bagi menerima dana dari luar negara.
“Pelaburan yang saya labelkan sebagai tahyul ini dikendalikan oleh seorang lelaki sebagai dalang dan dibantu beberapa individu dipanggil ‘mandat’ atau ketua.
“Antara modus operandi pelaburan ini adalah meyakinkan pelabur dengan menunjukkan dokumen tertera logo rasmi institusi kewangan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) yang disyaki palsu,” katanya.
Beliau berkata, dalang kepada dana tahyul itu juga disyaki bukan sebuah entiti pelaburan sah memandangkan ia tidak tersenarai di bawah mana-mana institusi kewangan yang diiktiraf di Malaysia.
“Sehingga ke hari ini, mangsa tidak pernah menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan dan hanya diberikan pelbagai alasan termasuk berlaku masalah teknikal membabitkan bank luar negara serta proses pemindahan dana belum lengkap.
“Tiada dokumen rasmi seperti perjanjian pelaburan atau laporan audit pernah diberikan kepada pelabur sejak mula mereka menyertai pelaburan itu,” katanya.
Menurutnya, kegiatan mempromosikan pelaburan itu juga sedang giat dijalankan dengan dianggarkan lebih 1,500 individu menyertai skim berkenaan di seluruh negara.
“Semua mangsa yang tampil kepada MHO sudah membuat laporan (polis) dan diharap pihak polis menjalankan siasatan kes berkenaan bagi mengelak lebih ramai mangsa terjerat dengan skim terbabit.
“Kami percaya ada ramai lagi mangsa penipuan pelaburan itu di seluruh negara. Mereka diminta tampil membuat laporan polis supaya kegiatan ini dapat dihentikan dan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
-Harian Metro
