KUANTAN: “Saya cuma mengugut untuk menembak lelaki berkenaan menggunakan pistol tiruan selepas dia bercakap begitu kasar serta biadap dengan ibu saya, saya tidak berniat untuk menembaknya,” kata Aidil (bukan nama sebenar).
Disebabkan kejadian itu, remaja berusia 20 tahun berasal dari Bentong itu dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan perintah khidmat masyarakat di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang selama 240 jam dalam tempoh dua tahun.
Menurut Aidil, kejadian pada tahun lalu itu berlaku ketika dia bertugas sebagai pengawal keselamatan di Bentong.
Kejadian berkenaan menyebabkan dia dihadapkan ke mahkamah kerana melakukan dua kesalahan iaitu memiliki pistol tiruan dan mengugut.
Katanya, semasa kejadian dia tidak dapat mengawal kemarahan hingga bertindak mengacukan pistol tiruan itu kepada lelaki terbabit dengan tujuan supaya lelaki berkenaan segera berdiam dan segera beredar.
“Pistol yang saya beli dengan harga RM300 itu boleh digunakan untuk menembak menggunakan peluru ball bearing (bebola besi) namun saya tidak berniat untuk mencederakan lelaki terbabit, saya mengacukan pistol hanya untuk mengugutnya sahaja tidak lebih daripada itu.
“Saya tidak menyangka tindakan saya itu berakhir dengan episod hitam apabila ditahan polis dalam masa beberapa jam selepas kejadian terbabit, akhirnya saya dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman perintah khidmat masyarakat selama 240 jam di bawah seliaan JKM Pahang,” katanya.
Dia ditemui pada Program PKM Beret 2025 dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang di Ibu Pejabat APM Pahang, di sini hari ini. Seramai 26 peserta PKM menyertai program sehari itu.
Seorang lagi pesalah dewasa dikenali sebagai Aida, 40, berkata, tekanan hidup yang melampau di Kuala Lumpur mendorong dia bertindak mendera dengan memukul anak saudaranya berusia setahun enam bulan hingga menyebabkan terdapat kesan lebam pada bahagian belakang kanak-kanak berkenaan.
“Kesempitan hidup dengan hanya tinggal dalam bilik sempit menyebabkan saya tidak dapat mengawal diri hingga bertindak memukul kanak-kanak berkenaan, dalam masa sama saya juga mempunyai empat anak berusia setahun hingga 14 tahun.
“Saya tidak menyangka ketika kanak-kanak itu dirawat di hospital kerana sawan, doktor mengesan terdapat kesan lebam pada bahagian belakang kanak-kanak berkenaan yang akhirnya menjadi kes polis. ‘Nasi telah menjadi bubur’ saya menerima balasan hukuman perintah khidmat masyarakat selama 240 jam,” katanya yang kini menetap di Cameron Highlands.
Bagi Salmah, 19 yang berasal dari Temerloh, tahun lalu dia menjadi mangsa keldai akaun pihak tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan dia menerima hukuman selepas polis mengesan seorang individu memasukkan sebanyak RM2,000 ke dalam akaun miliknya.
“Nasihat saya pada golongan remaja supaya lebih berhati-hati dalam sebarang urusan yang berkaitan dengan pemberian nombor akaun bank bagi mengelak di salah guna oleh sindiket penipuan.
“Disebabkan kecuaian diri sendiri akhirnya saya menerima hukuman perintah khidmat masyarakat selama 60 jam,” katanya menanam impian untuk menyambung pengajian di peringkat universiti.
Sementara itu, Pengarah JKM Pahang Khairul Amri Ahmad berkata, kini terdapat seramai 52 pesalah kanak-kanak, pesalah muda dan pesalah dewasa termasuk lima wanita kini dikenakan hukuman perintah khidmat masyarakat di negeri terbabit.
Menurutnya, program yang diadakan itu bertujuan membina semangat juang dan jati diri dikalangan pelatih seterusnya melahirkan individu yang mantap dari segi jasmani, emosi, rohani dan disiplin dalam mengharungi kehidupan.
Katanya, mereka terbabit melakukan pelbagai kesalahan antaranya mencuri, seksual, lalu lintas, merogol, dadah, ugutan, dera dan lumba haram.
BHonline-
