KUALA LUMPUR: Seorang remaja Britain berusia 17 tahun dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas dipercayai menaiki penerbangan dari negara itu ke Kuala Lumpur pada Jun lalu tanpa pengetahuan keluarganya.
David Balisong, remaja lelaki dari Cheadle, Greater Manchester, ada memberitahu adiknya dia akan keluar awal untuk ke sekolah disebabkan sedang menduduki peperiksaan GCE Peringkat A, pada 6 Jun lalu.
Berdasarkan laporan Daily Mail, Balisong dikesan menaiki penerbangan sehala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa memaklumkan sesiapa.
Kehilangannya hanya disedari selepas Balisong tidak pulang ke rumah sebelum keluarganya menyedari berlaku sesuatu yang mencurigakan atas kehilangannya.
Selain itu, keluarganya turut menyedari Balisong turut membawa bersama pasport miliknya.
Sehari selepas kehilangannya, pihak Polis United Kingdom mengesahkan Balisong berlepas seorang diri dari Lapangan Terbang Manchester dan diberikan visa selama 90 hari sebaik tiba di Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, ibu Balisong, yang juga seorang jururawat penjagaan kesihatan dikenali sebagai Minerva, 50, berkata mereka sekeluarga berasa terkejut dengan tindakan anaknya itu selain berharap remaja terbabit dalam keadaan selamat.
“Perasaan kami seperti ‘tsunami’, kami tidak pernah menjangkakan perkara ini akan terjadi, kami bangun dari tidur dan anak kami tiada.
“Kami tidak marah kepadanya, kami menyayanginya dan ambil peduli mengenai lebih daripada yang dia tahu, kami hanya mahu dia selamat,” katanya.
Balisong, yang juga pelajar sains komputer di Universiti Manchester dilaporkan mematikan telefon bimbitnya serta tidak membalas emel.
Dia juga dilaporkan hanya memiliki Euro 1,200 (RM5,970) dalam akaun banknya ketika meninggalkan United Kingdom.
Keluarganya turut memaklumkan Balisong tidak mempunyai saudara mara atau kenalan di Malaysia.
Keluarga itu dilaporkan melancarkan rayuan GoFundMe untuk membantu mengumpul dana bagi membiayai perjalanan dan menampung penginapan di Kuala Lumpur bagi membantu dalam pencarian anak mereka.
Sementara itu, BH turut menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi mendapatkan maklum balas dan pada masa ini semakan sedang dilakukan sebelum sebarang pengesahan diberikan.
BHonline-


