SHAH ALAM: Tauliah mengajar agama penceramah bebas yang ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes penyebaran video seks isterinya, ditarik balik pada 2022.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin, berkata suspek juga pernah ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada September tahun lalu kerana mengajar agama tanpa tauliah, sekali gus bertentangan dengan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Katanya, kes terbabit masih dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah.
“Dalam kes itu, seorang pentadbir surau turut disiasat kerana didakwa menyebabkan ceramah tanpa tauliah dijalankan.
“JAIS sentiasa memantau perkara terbabit dan tindakan undang-undang serta tatatertib sewajarnya akan diambil terhadap pihak berkaitan.
“MAIS kesal dengan sikap beberapa individu yang terus mengajar agama di Selangor walaupun tidak mempunyai tauliah atau tarikh tauliah luput,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Salehuddin berkata, masih ada penceramah bertauliah melanggar syarat tauliah dan etika ditetapkan.
“Ini berlaku kerana ada segelintir pentadbir masjid dan surau tidak memantau penceramah yang mengajar di masjid dan surau.
“Sikap begini akan mengundang persepsi negatif masyarakat dan memberi imej buruk terhadap Islam dan agensi Islam,” katanya.
Sejak 2022, Salehuddin berkata, MAIS menarik balik tauliah mengajar agama daripada 35 individu kerana kesalahan perlanggaran syarat tauliah mengajar, melakukan pengajaran bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, melakukan jenayah dan memegang jawatan dalam politik.
BHonline-


