KLANG: Sesi taklimat khas kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor berhubung isu letupan saluran paip gas di Putra Heights akan dilaksanakan selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari pertama selesai esok.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata sesi penerangan itu akan dilaksanakan jawatankuasa siasatan teknikal, antaranya membabitkan pihak polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
“Taklimat itu dibuat selepas persidangan DUN esok (selesai) kerana banyak urusannya berbentuk teknikal. Selepas itu ia akan dibawa (dibahaskan) dalam persidangan DUN itu.
“(Tujuan ia dilaksanakan) supaya mereka (wakil rakyat) faham aspek sebenar dan tidak mempunyai persepsi tertentu,” katanya selepas Kempen Bebas Plastik Siri 2 2025 di Laman Seni Safari di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin.
Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Selangor Kelima Belas Tahun 2025 akan bersidang bermula esok hingga 18 Julai.
Pada 30 Jun lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media khas Laporan Siasatan Insiden Kebakaran Putra Heights dilaporkan berkata, tiada unsur sabotaj, perbuatan khianat atau kecuaian dikenal pasti sebagai punca kejadian letupan paip gas bawah tanah milik PETRONAS di Putra Heights di Subang Jaya pada 1 April lalu.
Susulan laporan itu, kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti laporan siasatan lengkap insiden berkenaan dan mencadangkan langkah susulan sewajarnya.
Jawatankuasa berkenaan akan merangkumi pandangan pelbagai pihak termasuk peranan Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam aspek pengurusan bencana serta penjelasan kepada umum mengenai kejadian itu.
Bernama-


