REMBAU: Dua lagi suspek yang dipercayai menghalang laluan kenderaan di Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS) dekat Hentian Sebelah Pedas-Linggi, di sini, baru-baru ini ditahan.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Hasani Hussain berkata, dua suspek berusia 31 dan 35 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau kira-kira jam 12 tengah malam Sabtu.
“Dua suspek itu disyaki berada bersama di dalam kereta yang menghalang laluan di lebuh raya yang tular baru-baru ini. Mereka ditahan ketika tampil menyerah diri.
“Buat masa ini tiada rampasan dibuat dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan dua suspek ini,” katanya ketika dihubungi.
Hasani berkata, dua suspek itu kini dalam proses tahana reman sehingga 7 Julai, sementara suspek pertama yang ditahan sebelum ini akan tamat reman 8 Julai.
“Pihak kami sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pendakwaan,” katanya.
Beliau percaya masih ada suspek disyaki ejen tarik kereta terbabit kejadian itu yang masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan.
Sebelum ini media melaporkan tiga kereta dirakam sengaja menghalang semua laluan di lokasi dan tindakan itu yang disifatkan berbahaya turut tular di media sosial sejak kelmarin hingga menimbulkan kecaman netizen.
BHonline-
