KUALA LUMPUR: Rakaman video kes tembak mati dua lelaki di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, di sini, tengah malam tadi dikesan tular di media sosial.
Dalam satu rakaman video berdurasi 28 saat, kelibat lima suspek dipercayai lelaki yang ada di antara mereka memakai topi keledar dan bertopeng dilihat berlari menuju ke arah kedua-dua mangsa yang hendak menaiki sebuah kereta sekitar jam 12.15 tengah malam.
Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah salah seorang mangsa di belakang sebuah kereta manakala seorang lagi mangsa ditembak ketika hendak masuk ke dalam kereta sama.
Mangsa itu bagaimanapun dilihat rebah di sisi hadapan kereta berwarna merah.
Suspek sangat kejam
Berdasarkan rakaman video itu juga suspek dilihat sangat kejam dan agresif sehingga berada sekurang-kurangnya selama 22 saat semasa kejadian melepaskan tembakan dipercayai untuk memastikan mangsa benar-benar mati.
Semua suspek kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta berwarna merah.
Rakaman ini dipercayai diperoleh dari kedai serbaneka di perkarangan pusat beli-belah berkenaan.
Satu lagi video dipercayai dirakam dari sebuah kenderaan memperlihatkan suspek terus melepaskan tembakan meskipun mangsa terbaring selepas mengalami kecederaan parah.
Berdasarkan bunyi letupan, kurang-kurangnya lebih enam das tembakan dilepaskan semua suspek namun setakat ini masih belum dapat disahkan berapa orang yang memiliki pistol.
BH yang berada di lokasi kejadian pada jam 1 pagi mendapati kedua-dua suspek terbaring dalam jarak lima meter dengan berlumuran darah.
Kecederaan yang dialami mereka adalah pada bahagian badan dan kepala.
Dua lelaki maut ditembak sekumpulan suspek di hadapan lobi sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, tengah malam tadi.
Berita penuh: https://t.co/MgrkSvMcyM pic.twitter.com/UWAuqKwicR
— Berita Harian (@bharianmy) June 17, 2025
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid, turut berada di lokasi kejadian bersama pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan pegawai siasatan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, serta Unit Forensik, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang berasal dari Sibu, Sarawak, dilaporkan baru keluar dari salah sebuah pusat hiburan di pusat beli-belah berkenaan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, dijangka mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Jumaat lalu, tiga individu ditembak dua suspek menaiki sebuah motosikal di sebuah restoran di Jalan Tun Sambathan, Brickfields, di sini.
Salah seorang dari mereka mati di tempat kejadian manakala dua lagi lelaki masing-masing cedera parah dan cedera ringan.
BHonline-


