Ampang: Bau busuk dihidu jiran daripada rumah teres dua tingkat di Jalan Pandan Indah, Pandan Indah, di sini, membawa kepada penemuan mayat wanita warga emas.
Mayat mangsa berusia 76 tahun itu ditemui pada 6.26 petang semalam selepas jiran tetangga menyiasat punca bau disebabkan tidak tahan lagi menanggungnya.
Jiran yang hanya ingin dikenali Along, 34, berkata, bau itu mula dikesan sejak Isnin lalu ketika dia pulang ke rumah selepas cuti raya.
Menurutnya, rumahnya dan rumah bapanya bersebelahan dengan rumah mangsa, manakala jiran lain turut mengadu mengenai bau busuk di kawasan berkenaan.
“Mereka juga beritahu yang anak mangsa tidak pulang ke rumah, namun kami pada awalnya menyangka anaknya akan pulang, tetapi selepas tiga hari, bau itu semakin kuat.
“Saya dan ayah bersama jiran kemudian memeriksa rumah itu dan mendapati pintu pagar tidak berkunci malah cuba mencari kemungkinan bau busuk itu disebabkan bangkai tikus namun tidak jumpa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Along berkata, mereka kemudian membuka pintu rumah yang tidak berkunci dan melihat wanita warga emas itu terbaring.
“Mak cik itu hanya tinggal berdua dengan anak bongsu lelakinya dan kebiasaannya arwah akan mengetuk pintu rumah jiran-jiran meminta makan jika lapar sementara menunggu anaknya pulang ke rumah.
“Selepas menemui mayatnya kami kemudian menghubungi polis memaklumkan kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail mengesahkan menerima maklumat berkaitan kejadian penemuan mayat wanita warga emas itu.
“Bedah siasat akan dijalankan jam 5 petang ini di Hospital Kuala Lumpur untuk mengetahui punca kematian,” katanya.
-Harian Metro
