KUALA LUMPUR: Serangan tentera Israel ke atas Iran dijangka mencetuskan jualan panik sementara dalam pasaran saham serantau termasuk Bursa Malaysia, demikian menurut penganalisis.
Berita serangan itu juga telah mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan minyak mentah, sekali gus memperlihatkan kenaikan mendadak harga minyak mentah dunia.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata Iran adalah pengeksport minyak, malah negara itu adalah salah satu pengeluar dan pengeksport minyak terbesar di dunia.
Justeru, katanya, sebarang krisis seperti serangan semasa oleh Israel akan menjejaskan pengeluaran minyak dan boleh mendorong harga minyak untuk meningkat.
Dari segi impak terhadap pasaran saham, beliau berkata, serangan itu juga boleh menyebabkan panik dalam pasaran yang bukan saja membabitkan Bursa Malaysia, tetapi juga pasaran serantau lain.
“Ia boleh menyebabkan panik sementara, sama seperti ketika perang Russia-Ukraine. Pasaran saham Malaysia mungkin menghadapi limpahan negatif sementara,” katanya kepada BH.
Mohd Sedek berkata, dengan peningkatan harga minyak mentah, mana-mana negara pengeluar atau pengeksport bersih seperti Malaysia akan mendapat manfaat daripada harga minyak, yang bermakna pendapatan akan meningkat, namun ia tidak diterjemahkan secara langsung kepada mata wang.
“Pergerakan mata wang dipacu oleh pelbagai sebab. Jika ingin mengukur sejauh mana minyak mempengaruhi ringgit, saya boleh katakan ia akan mempunyai kesan menaik minimum pada mata wang, sekitar 0.5 hingga 0.7 peratus (berdasarkan kejadian serangan sebelumnya),” katanya.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, pula berkata impak serangan itu akan bergantung kepada jangka masa ia berlaku memandangkan krisis itu dalam jangka masa pendek sudahpun menyebabkan harga minyak mentah meningkat, begitu juga dengan harga emas sebagai simpanan pelaburan yang selamat.
Beliau berkata, Iran adalah antara lima pengeluar minyak terkemuka dunia dan antara yang paling penting sebagai pembekal kepada China.
Jelasnya, sekiranya tiada gencatan senjata dalam tempoh terdekat maka skala peperangan yang berpanjangan bakal mencetuskan krisis besar kepada ekonomi dunia.
Menurutnya, campur tangan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) yang menyokong Israel pasti akan diimbangi oleh BRICS.
Namun, yang membimbangkan, tegasnya adalah keupayaan Iran yang mempunyai senjata nuklear boleh memberikan kesan besar dan membimbangkan.
“Tercetusnya krisis Iran dan Israel ini akan menambahkan lagi kesan negatif kepada perdagangan dan ekonomi dunia. Malaysia sebagai pengamal ekonomi terbuka pasti terkesan terutamanya segmen eksport.
“Dengan kenaikan harga minyak dunia, kadar inflasi dunia dijangka akan naik semula, antara sektor yang dijangka terkesan adalah pelancongan, makanan dan minuman, logistik dan pengangkutan serta pembinaan iaitu kenaikan komoditi utama seperti besi dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata serangan itu menandakan risiko geopolitik mula menjadi perhatian memandangkan ia membabitkan sekutu kuat AS iaitu Israel.
Pada masa sama, katanya, perbincangan program nuklear Iran dengan AS dilihat sedang berlangsung dan dilihat berpotensi untuk mencapai suatu keputusan yang positif.
“Risiko geopolitik dan kesan kepada pasaran kewangan dan komoditi kebiasaannya bersifat mengejut dan selepas beberapa tempoh ia akan reda.
“Justeru, ketidakpastian seterusnya adalah sama ada Iran akan membuat serangan balas,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata, berdasarkan data, Iran mengeluarkan minyak mentah sebanyak 4.66 juta tong sehari pada 2023.
Beliau berkata, ia mewakili 4.8 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak mentah global dan adalah negara pengeluar yang kelima terbesar dunia selepas AS (20.1 peratus), Arab Saudi (11.8 peratus), Russia (11.5 peratus) dan Kanada (5.9 peratus).
BHonline-


