KUALA LUMPUR: Bekas isteri kepada pelakon Edika Yusof iaitu Nor Hidayah Yusri mengakui mempunyai bukti berhubung kemelut rumah tangganya, selain anak-anaknya juga antara saksi kepada apa yang berlaku sepanjang perkahwinan selama 22 tahun.
Nor Hidayah berkata, anak perempuannya antara individu yang melindungi dirinya dan mengambil tindakan apabila berlaku insiden yang tidak dapat dikawal seperti menghubungi polis.
“Edika boleh menafikan, boleh cakap apa yang dia mahu, tapi apa yang saya kemukakan dalam mahkamah adalah bukti kukuh. Saya ada gambar, video dan audio. Anak-anak juga menjadi saksi.
“Walaupun anak perempuan tak duduk dengan saya, tapi tak bermaksud dia tidak tahu apa yang terjadi. Anak perempuan berpihak kepada saya. Contohnya, kalau ada kejadian tertentu yang tak dapat dikawal, anak perempuan sayalah orang pertama akan cari abang sulung.
“Kalau abang tak dapat datang, dia diam-diam hubungi polis. Banyak kali polis datang ke rumah. Saya juga mempunyai bukti seperti video insiden yang berlaku. Kalau pergi ke Balai Polis Kepong, tanyalah mereka sudah berapa kali polis datang ke rumah,” katanya yang ditemui selesai prosiding perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, pagi tadi.
Nor Hidayah mengakui, keganasan rumah tangga berlaku sejak awal perkahwinannya.
“Ya, (keganasan rumah tangga). Dalam mahkamah, dia tetap menafikan. Saya tak nak keluarkan bukti. Keganasan ini berlaku sebelum saya sakit, lebih 20 tahun,” katanya.
Pagi tadi, Edika dan Nor Hidayah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, jam 10.42 pagi.
Edika atau nama sebenarnya, Mohd Yusof Abd Majid, 58, melafazkan di hadapan hakim syarie, Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh.
Pada 24 Mac lalu, peguam syarie mewakili Nor Hidayah iaitu Mohd Yazid Hazim mengesahkan wanita itu sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya, Edika pada pertengahan Februari lalu.
Menurut Mohd Yazid, mahkamah menetapkan tarikh hari ini bagi lafaz cerai selepas prosiding ditangguhkan susulan Nor Hidayah dalam keadaan tidak suci.
Menerusi hasil perkongsian hidup sejak 2003, Edika dan Nor Hidayah dikurniakan dua cahaya mata, Fardeen Nasrulhaq, 21, dan Fereena Nurulhaq, 20.
Terdahulu, Edika dan Nor Hidayah menarik perhatian ramai apabila Edika didapati sanggup berkorban dan setia menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak kedua.
BHonline-
