Klang: “Kami nampak kakinya (Muhamad Faris Mohd Sharif, 11) terapung dalam sungai.
“Mujur ada kawan yang pandai berenang kemudian terjun dan menariknya naik sebelum memberi bantuan pernafasan CPR terhadapnya.
“Kami turut menggoncangkan badannya dan Alhamdulillah selepas 15 minit dia sedar dan kami segera hantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,” kata Muhammad Idris Shahrul Nizam, 24, ketika ditemui di Kampung Dagang Jati, hari ini.
Muhammad Idris antara individu terawal sampai ke lokasi dan menyelamatkan kanak-kanak yang hampir lemas dalam kejadian di Jalan Bukit Jati, Kampung Bukit Jati, semalam.
Menurutnya, mereka bertindak menghantar sendiri ke HTAR berikutan laluan kawasan ke sungai itu sempit dan menyukarkan ambulans untuk masuk.
Dalam kejadian itu, bapa Muhamad Faris iaitu Mohd Sharif Md Yusof, 40, ditemukan lemas ketika cuba menyelamatkan anak sulungnya itu.
“Semasa kejadian, saya bersama keluarga dan beberapa rakan sedang menunggu untuk berbuka puasa sebelum seorang wanita datang beritahu Mamat (nama panggilan kepada Allahyarham) dan anaknya lemas.
“Kami terus bergegas ke lokasi kira-kira 500 meter dari rumah. Pada mulanya dua beranak itu tidak kelihatan sebelum kami nampak Muhamad Faris terapung,” katanya.
Menurutnya, Allahyarham Mohd Sharif pula ditemui kira-kira jam 9 malam berdekatan lokasi kami jumpa anaknya.
Katanya, Mohd Sharif memang suka memancing dan selalu membawa anak-anaknya ke kawasan itu.
Dalam pada itu, biras kepada Mohd Sharif, Huda Zakaria berkata, dia seakan tidak percaya lelaki itu lemas dalam kejadian semalam kerana Allahyarham arif dengan sungai serta hutan belukar.
“Saya difahamkan ada bengkak di dahinya mungkin dia terhantuk ketika terjun menyelamatkan anak sulungnya sebelum lemas.
“Anaknya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAR manakala jenazah Allahyarham selesai diuruskan dan dikebumikan di Jeram, Kuala Selangor, petang ini,” katanya.
Beliau juga tidak dapat menyembunyikan kesedihan berikutan rapat dengan anak Allahyarham yang kini bertarung nyawa.
“Muhamad Faris rapat dengan saya dan selalu ke rumah saya yang berdekatan sahaja. Sedih rasanya apabila ini berlaku, apatah lagi hari raya bakal tiba lagi beberapa hari,” katanya.
Semalam media melaporkan, seorang lelaki lemas dipercayai ketika cuba menyelamatkan anaknya yang jatuh sungai ketika memancing di Kampung Bukit Jati, Klang, dekat sini.
-Harian Metro


