Dungun: Polis menahan seorang lelaki dan merampas daun kering dipercayai daun ketum yang dianggarkan seberat kira-kira 58 kilogram dalam serbuan di sebuah rumah di Paka, dekat sini, semalam.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.20 petang hasil maklumat awam.
Menurutnya, sebelum serbuan, sepasukan anggota polis melakukan intipan dan risikan di rumah sewa suspek terbabit.
“Polis mendapat maklumat awam berhubung aktiviti penjualan air ketum di situ sebelum kita bertindak melakukan serbuan.
“Polis menemui satu plastik sampah yang mengandungi ceraian disyaki daun ketum di luar rumah suspek,” katanya.
Maizura berkata, berikutan itu, polis menyerbu rumah terbabit dan menemui longgokan daun ketum di dalam sebuah bilik.
“Anggota kami turut menemui enam botol mengandungi cecair yang disyaki mengandungi ubat batuk dalam bilik yang sama.
“Kita percaya daun ketum terbabit baru sahaja diperoleh dari pembekal dan barang terlarang itu dipercayai untuk pasaran sekitar Paka,” katanya.
Menurutnya, suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah dan bagaimanapun hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif mengambil dadah.
“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut.
“Reman ke atas suspek diperoleh selama empat hari bermula hari ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
HarianMetro-


