PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentuk Lembaga Pengawalan Teks al-Hadis dan Jawatankuasa Teks al-Hadis dalam tempoh dua bulan lagi bagi pelaksanaan standard kawalan teks hadis.
Menteri berkenana Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lembaga itu akan berperanan seperti Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran bagi mengawal penerbitan bahan-bahan berkaitan hadis palsu atau hadis yang disalah tafsir untuk kepentingan pihak tertentu.
Katanya kementerian juga bercadang mewujudkan sebuah portal mengenai sumber rujukan agama Islam kedua itu berdasarkan nasihat ulama yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu.
“KDN bertanggungjawab dalam hal ehwal penerbitan teks berkaitan hadis jadi kami akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan para ulama yang pakar dalam bidang ini,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas pertemuan selama hampir dua jam bersama ulama hadis dan ahli akademik antaranya dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata mesyuarat itu diadakan bagi mendapatkan pandangan ulama dan ahli akademik yang pakar dalam bidang hadis bagi mengelakkan KDN memberi kelulusan kepada penerbitan-penerbitan yang tidak benar.
“Banyak hadis yang perlu diharamkan contohnya hadis-hadis yang merujuk soal jihad yang mempengaruhi bakal pengganas untuk masuk IS di Iraq dan Syria,” katanya. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=JkEK39WvIQI

