Kuala Lumpur : Faktor utama nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, pada 23 April lalu dikenal pasti akibat salah satu pesawat berkenaan tidak berada pada ketinggian dan haluan ditetapkan.
Malah, pesawat Fennec terbabit dikatakan memasuki laluan pesawat AW139 yang turut menjadi punca utama nahas berkenaan yang mengorbankan 10 nyawa.
TLDM dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan faktor lain mendorong nahas itu berlaku adalah ‘channelized attention’ oleh kru pesawat AW139 yang tertumpu ke arah penukaran haluan mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran.
“Lembaga Siasatan melaksanakan siasatan bagi mengenal pasti punca atau faktor yang menyumbang kepada insiden terbabit dalam pelbagai aspek.
“Ini termasuk semula profil penerbangan pada hari kejadian dengan mensimulasikan profil itu menggunakan simulator penerbangan dan juga pesawat sebenar.
“Selain itu, bantuan dan pandangan daripada pihak Airbus Helicopter juga diambil kira sekiranya terdapat data-data pada peralatan pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan,” katanya.
-Harian Metro


