KUALA LUMPUR : Polis masih berusaha untuk mengenal pasti motif kejadian serangan terhadap pemain bola sepak Faizal Halim di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada 5 Mei lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Justeru proses menjejaki suspek berdasarkan lakaran atau fotofit wajah yang diberikan sebelum ini amat penting dalam siasatan kes serangan berkenaan sehingga mengambil masa yang agak panjang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata lakaran wajah suspek yang diberikan adalah hasil daripada maklumat tiga individu yang berada di lokasi kejadian.
“Fokus kita pada masa ini adalah mencari identiti suspek yang kita peroleh sebelum mengesannya untuk memudahkan kita menyiasat sekali gus mencari motif kejadian serangan berkenaan.
“Selain bergantung kepada usaha mengesan suspek, polis juga sudah merakam percakapan daripada 23 orang saksi kejadian.
“Motif juga turut menjadi elemen utama siasatan sama ada kes serangan Faizal Halim turut mempunyai kaitan dengan serangan dan samun terhadap pemain bola sepak negara, Akhyar Rashid di Kuala Terengganu pada 2 Mei lalu,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Razarudin berkata, proses mengesan cap jari pelaku juga tidak banyak membantu dalam mengesan suspek selepas hanya tiga daripada lapan cap jari yang diperoleh didapati sempurna manakala bakinya sukar dikesan.
“Oleh yang demikian, polis amat mengalu-alukan maklumat orang ramai terutama saksi kejadian yang tahu tentang individu yang dikesan berdasarkan lakaran wajah suspek.
“Dalam kes ini kita telah menahan seramai tiga individu dan semua mereka dibebaskan selepas didapati tidak mempunyai kaitan namun akan dipanggil semula sekiranya dirasakan perlu.
“Tangkapan ketiga yang dilakukan di kawasan kediaman Faizal Halim tidak didedahkan selepas siasatan mendapati individu terbabit disahkan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan sekitar kediamannya,” katanya.
Selain proses cap jari, mengesan suspek melalui lakaran wajah yang disiarkan, pihak polis juga turut sedang menyiasat daripada pelbagai sudut lain.
Sehubungan itu, Razarudin meminta orang ramai untuk memberikan ruang kepada PDRM dalam menjalankan siasatan kes serangan terbabit.
-Berita Harian


