KOTA BHARU: Seorang peniaga wanita warganegara Thailand dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini, atas dakwaan mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 86.8 gram, September 2018.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Hakim Datuk Roslan Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Miss Rusneeda Beraheng, 41.
Roslan dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen milikan kereta dan dadah.
“Elemen pengedaran dadah secara automatik gagal kerana elemen milikan kereta tidak berjaya dibuktikan.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Justeru, tertuduh dibebas dan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.
Pihak pendakwaan mengemukakan lapan saksi terdiri daripada pegawai penyiasat, pegawai polis dan ahli kimia yang dipanggil sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aida Fatimah Abd Jabar manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed.
Terdahulu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kubang Juluk, Rantau Panjang, Pasir Mas jam 9 pagi, pada 4 September 2018.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
BHonline-


