PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih memburu ejen yang didakwa meminta bayaran RM18,000 kepada wanita warga China yang cuba memasuki Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bulan lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya setakat ini mengenal pasti individu terbabit dipercayai seorang lelaki warga asing.
“Kita sudah mempunyai butiran mengenainya namun kita belum dapat mengesan kedudukannya pada masa ini.
“Semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan masa bagi SPRM melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan suspek dipercayai bekerja dengan sebuah syarikat menguruskan kemasukan pelancong yang bertempat dalam KLIA.
Azam dilaporkan berkata, syarikat ejen pelancongan tersebut dipercayai telah beroperasi di dalam premis KLIA sejak 2017 bagi menguruskan tiket kapal terbang dan makan minum kepada kumpulan pelancong yang hadir ke Malaysia.
SPRM mengesyaki ejen yang menguruskan kemasukan warga China tersebut juga adalah dari negara tersebut.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Azam mengingatkan kepada mana-mana pihak termasuk media agar tidak mensensasikan isu dakwaan rasuah sehingga tercetus kekecohan di balai ketibaan KLIA.
Kata beliau, andaian mengatakan tiada kes rasuah adalah tidak sepatutnya dikeluarkan memandangkan kes masih lagi dalam siasatan.
“Kita sedang dan masih lagi lakukan siasatan berhubung dakwaan ini. Siasatan kita bukan sahaja menumpukan pelakuan rasuah di pintu masuk negara tetapi juga akan melihat kepada prosedur operasi standard (SOP) kerja penguatkuasaan di Jabatan Imigresen dan agensi yang bertugas di KLIA dalam prosedur pemeriksaan dan pelepasan terhadap pelancong yang masuk ke negara ini,” katanya.
Tegas beliau, tidak munasabah sekiranya sebarang rumusan dibuat dalam masa yang singkat ini memandangkan siasatan masih dilakukan.
-Utusan Online


