JOHOR BAHRU : Kerajaan meluaskan inisiatif di bawah payung Rahmah dengan pelaksanaan pakej Tuisyen Rahmah secara dalam talian menerusi iTTV e-Learning bermula hari ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pakej itu dijangka akan dapat dimanfaatkan ribuan murid dan pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, khususnya keluarga kurang berkemampuan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata pelaksanaan pakej Tusyen Rahmah bertujuan, membantu kumpulan miskin tegar dan golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan tambahan.
“Pakej ini menyasarkan murid sekolah bermula daripada tahun empat sehingga tingkatan lima dengan penyediaan lebih 3,000 video tutorial berdasarkan sukatan kurikulum Kementerian Pendidikan.
“Pihak pengendali turut memberikan harga diskaun sehingga 50 peratus kepada pelajar seluruh negara yang berminat.
“Pakej Rahmad iTTV e-Learning bermula serendah RM5 sebulan kepada murid tahun empat sehingga RM15 sebulan buat pelajar tingkatan empat dan lima mengikut subjek masing-masing, berbanding harga biasa yang mencecah RM22 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang medi selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan, Apresiasi Pendidikan dan Pelancaran ITTV e-Learning Rahmah di Kempas, di sini hari ini.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah adalah manifestasi keprihatinan dan kasih sayang Kerajaan Perpaduan kepada rakyat Malaysia.
“Menerusi pembelajaran tambahan secara dalam talian, video yang disediakan sesuai digunakan sebagai bahan prmbelajaran kendiri, ulang kaji, pengayaan ataupun pengukuhan mengikut kelapangan masing-masing.
“Kita berharap usaha ini mampu menarik perhatian orang ramai untuk mendapatkan barangan keperluan atau perkhidmatan ditawarkan dengan harga yang murah dan berpatutan namun dengan kualiti terbaik,” katanya.
-Berita Harian
