TANGKAK : Seorang pemandu lori maut, manakala isterinya cedera apabila lori dinaiki mereka terbalik selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 150, Lebuhraya Utara-Selatan, arah Selatan berhampiran Bukit Gambir, di sini, pagi tadi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Dalam kejadian kira-kira jam 9.13 pagi itu, mangsa, Yuzairi Mansor, 43, maut di lokasi kejadian akibat tersepit dalam lori, dan isterinya, Nur Atikah Hussin, 30, cedera, manakala pemandu kereta Proton Saga, Muhammad Shahit Abu Thohib, 28, tidak terselamat dalam nahas terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Farizan Mokhtar, berkata sebuah jentera dari BBP Bukit Gambir dibantu dua jentera dari BBP Tangkak dengan 13 anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu mangsa kemalangan.
Bagaimanapun, beliau berkata, Yuzairi disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan di tempat kejadian, manakala isterinya dihantar ke hospital berhampiran dengan menaiki ambulans.
“Punca nahas masih dalam siasatan dan operasi tamat kira-kira jam 10.03 pagi,” katanya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintendan Idris Abdul Rahman berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-Berita Harian


