PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) masih belum memuktamadkan keputusan membenarkan parti sekutu dalam Kerajaan Perpaduan yang berhasrat menggunakan logo gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu akan dibincangkan terlebih dulu biarpun pihaknya ada menerima hasrat berkenaan.
“Keputusan Dewan Tertinggi BN memutuskan bahawa calon BN (pada PRN) akan menggunakan lambang BN, namun kita tidak menolak jika ada parti lain dalam kesepakatan Kerajaan Perpaduan berhasrat menggunakan lambang BN.
“Bagaimanapun, ia belum dimuktamadkan. Hasrat itu ada (dikemukakan kepada parti), tetapi seperti yang saya katakan, belum dimuktamadkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan di sini, hari ini.
Semalam, Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, parti itu sedang mempertimbangkan hasrat parti sekutu dalam Kerajaan Perpaduan untuk menggunakan logo dacing pada PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, parti terbabit mahu menggunakan logo BN di beberapa negeri yang dianggap memiliki kelebihan.
“Kita sedang pertimbangkan ada rakan sekutu (Kerajaan Perpaduan) mahu menggunakan lambang kita (logo BN) di negeri-negeri tertentu.
“Ini kerana ada strategi pilihan raya yang boleh memberi sedikit impak,” katanya seperti dilaporkan media.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan parti berkenaan atau negeri yang bakal ditandingi.
BHonline-


