KUALA LUMPUR : Bekalan daging lembu import untuk pasaran negara ini, tidak terjejas walaupun berlaku penularan wabak lembu gila di Brazil sejak bulan lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Presiden Persatuan Pengimport Daging Halal Muslim Malaysia (HALMIM), Datuk Mohd Noor Ali Akbar, berkata Brazil bukan pengeksport utama daging lembu ke Malaysia, kerana tempoh penghantaran yang mengambil masa lebih sebulan untuk sampai di sini.
“Selain tempoh penghantaran yang mengambil masa antara 45 sehingga 60 hari, kebanyakan pengimport Malaysia memilih membawa masuk daging lembu dari India, Australia dan New Zealand,” katanya kepada BH, hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Noor mengingatkan semua pengguna supaya membeli daging yang disahkan halal dan pengedar yang disahkan.
“Pasti akan ada pihak yang mahu mencari keuntungan cepat dan besar yang mungkin akan melakukan perkara yang tidak dijangka (mengimport daging Brazil), pengguna harus peka dengan barangan yang dibeli,” katanya.
Semalam, Kementerian Pertanian Brazil melaporkan satu kes penyakit lembu gila yang dikesan di Brazil pada bulan lalu, adalah ‘atipikal’ atau lain daripada kebiasaan.
Dalam satu kenyataan, Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) mengesahkan kes luar biasa penyakit lembu gila berkenaan.
Susulan pengumuman mengenai penyakit itu pada 20 Februari lalu, sekatan automatik dilakukan ke atas penjualan daging lembu Brazil ke China.
Terdahulu, tiga lagi pasaran Asia membabitkan Thailand, Iran dan Jordan semalam turut mengenakan larangan sementara ke atas import daging lembu dari seluruh Brazil.
-Berita Harian
