GEORGE TOWN – Seorang lelaki ditahan selepas beberapa minit menyamun seorang peniaga di Lorong Hijau 3, Jelutong di sini hari ini.
Lelaki berusia 20-an itu ditahan orang ramai selepas motosikal yang dinaiki bersama rakannya dilanggar sebuah kereta yang pemandunya menyaksikan kejadian samun itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata dalam kejadian pukul 6 pagi itu, peniaga berusia 44 tahun itu yang juga bermotosikal sedang menuju ke pasar di Batu Lancang.
“Pembonceng motosikal berkenaan dikatakan mengeluarkan sebilah parang dan mengacukannya ke arah mangsa serta mengarahkan peniaga berkenaan agar melepaskan beg silangnya.
“Peniaga itu menyerahkan begnya sebelum dua lelaki terbabit memecut motosikal mereka, tetapi dilanggar sebuah kereta,” katanya.
Mior Faridalatrash berkata kedua-dua suspek yang berusia 20-an terjatuh dari motosikal mereka dengan seorang daripadanya dapat ditahan orang ramai sebelum diserahkan kepada polis.
Beliau berkata seorang lagi rakan suspek dapat melarikan diri.
Beg peniaga berkenaan ditemui semula. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=9x0Gff-QgQc

