JAKARTA: Duta baharu Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin @ Syed Hussin dijangka tiba dan memulakan tugas rasminya di sini hujung bulan ini atau awal bulan depan.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Adlan Mohd Shaffieq, berkata Syed Md Hasrin sebelum ini pernah berkhidmat di beberapa negara termasuk Indonesia sebagai timbalan ketua misi dari 2010 hingga 2013.
Jawatan terakhir beliau ialah wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
“Kita akan maklumkan kehadiran beliau di Jakarta ke Kementerian Luar Negeri Indonesia supaya satu tarikh ditetapkan bagi penyerahan watikah pelantikan kepada Presiden Joko Widodo,” katanya.
Diplomat itu ditemui pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina, yang dihoskan Malaysia Chambers Jakarta (MCJ) semalam.
Adlan berkata, sejurus tiba di Jakarta, Syed Md Hasrin akan diberi taklimat oleh 11 agensi kerajaan mengenai aktiviti dan fokus substantif yang dijalankan di sini.
Beliau berkata, perkara yang akan diberi perhatian ialah tenaga kerja, pengukuhan kerjasama kedua negara dalam bidang kelapa sawit dan isu tertunggak membabitkan persempadanan maritim serta lain-lain.
Syed Md Hasrin menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Khamis lalu.
Ditanya mengenai pelantikan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta susulan kekosongan jawatan berkenaan sejak hampir setahun, beliau berkata, perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi.
“Nama sudah diperoleh dan seorang ‘career diplomat’ akan diberi tauliah oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada masa terdekat,” katanya.
Bernama-
