TOKYO – Projek mega seperti Transit Aliran Massa (MRT) telah mencipta beribu-ribu peluang pekerjaan kepada jurutera muda di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata MRT bukan sahaja bakal mentransformasi pengangkutan awam di Lembah Klang tetapi turut mewujudkan 2,800 peluang pekerjaan untuk jurutera muda.
Malah, projek kereta api berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura juga bakal mewujudkan beribu-ribu peluang pekerjaan untuk jurutera muda dan berkelayakan, kata beliau.
“Inilah antara tanggungjawab kerajaan…mencipta peluang pekerjaan, melatih tenaga kerja dan membawa pulang bakat-bakat yang bekerja di luar negara,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Bersama Rakyat Malaysia bersempena lawatan rasmi tiga hari beliau di Jepun bermula Ahad.
Najib berharap diaspora Malaysia di Jepun akan menyahut cabaran kerajaan untuk membangunkan bakat mereka di sini dan pulang ke tanah air untuk merebut peluang pekerjaan yang diwujudkan kerajaan.
“Saya mahu anda semua buktikan, sebaik berada di Jepun, bahawa anda semua setara dengan penduduk Jepun. Pelajarilah teknologi baharu,” kata beliau.
Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Duta Malaysia di Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri idris Jala dan kira-kira 260 rakyat Malaysia di Jepun.
Perdana menteri berkata Malaysia juga berupaya untuk mengeksport kepakaran dan pengetahuan.
“Datuk (Seri) Idris baru sahaja pulang dari Kremlin. Kerajaan Rusia mahu belajar daripada kita manakala Pemandu (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan) telah dilantik sebagai perunding oleh Tanzania,” katanya.
Mengenai lawatan beliau di Tokyo, Najib berkata Jepun merupakan rakan strategik yang telah lama membantu Malaysia dari segi perdagangan, pelaburan dan kini berupaya menyumbang dalam pembangunan modal insan.
Katanya nilai pelaburan Jepun dari tahun 2009 hingga 2014 berjumlah US$9.43 bilion yang mewujudkan lebih 37,000 peluang pekerjaan.
Menurut Najib, beliau dan rakan sejawatannya Shinzo Abe sebelum ini bersetuju untuk meneruskan Dasar Pandang ke Timur 2.0.
“Ia akan diubah suai di mana Jepun akan membantu menjayakan ProgramTransformasi Ekonomi (ETP) dengan penekanan kepada teknologi baharu, inovasi dan peningkatan kapasiti pengurusan kedua-dua sektor awam dan swasta,” kata beliau.
Malah, kata perdana menteri, Jepun akan menjadi sumber teknologi terkini seperti dalam bidang kecekapan tenaga kenderaan di mana negara matahari terbit ini merupakan antara pembekal utama teknologi bateri.
Najib berkata Jepun berminat menjayakan pembangunan infrastruktur dan antara projek yang menarik minat mereka adalah projek kereta api berkelajuan tinggi itu.
“Shinkansen (kereta api laju), kita semua tahu ada pendapat masing-masing tentang teknologi dan keupayaannya. Pada Selasa saya akan alami pengalaman menaiki Shinkansen,” katanya.
Perdana menteri berkata sebuah syarikat penerbangan Jepun dijangka memulakan penerbangan harian dari Tokyo ke Kuala Lumpur September ini.
Pada majlis itu juga, Najib menerangkan pencapaian negara dalam pelbagai bidang dan langkah yang sedang diambil kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengurangkan jurang pendapatan. – BERNAMA