KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan kejayaan pasukan Lions XII merangkul kejuaraan Piala FA musim ini membuktikan program yang dilaksanakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membangunkan sukan itu di Malaysia masih ketinggalan.
Baginda bertitah, perkara itu menunjukkan bahawa program pembangunan bola sepak Singapura lebih baik kerana pemain Lions XII mampu menewaskan Kelantan selaku pasukan terbaik di Malaysia yang mempunyai seramai empat pemain import.
“Kemenangan Lions XII itu sepatutnya dijadikan contoh oleh FAM bahawa ianya ketara jelas mutu dan program bola sepak Malaysia masih ke belakang lagi.
“Perlawanan malam ini (semalam) bukan sahaja menunjukkan yang mereka melawan pasukan terbaik Malaysia yang mempunyai empat pemain import, tetapi juga melawan pengadil dan juga menentang sistem iaitu FAM,” titah baginda dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Titah Tunku Ismail, perlawanan diantara Lions XII dan Kelantan malam tadi boleh dianggap pasukan Scotland bawah 23 tahun menentang pasukan Manchester United atau kelab-kelab besar England.
“Diharap FAM dapat mengambil iktibar daripada perlawanan ini. Walau bagaimanapun tahniah diucapkan kepada pasukan yang bertanding,” titah baginda.
Kelantan semalam gagal dalam misi memburu kejuaraan Piala FA 2015 apabila dimalukan oleh skuad Lions XII dengan kekalahan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil. – Mynewshub.cc
https://youtu.be/w0ILncgf5GY

