KUALA LUMPUR – Pertubuhan Makkal Kural Malaysia memohon tindakan undang-undang yang paling tegas, saksama dan tanpa pilih kasih diambil terhadap individu yang menyebabkan kematian akibat memandu di bawah pengaruh bahan terlarang.
Pengasasnya, M.Karthigeyen menegaskan perkara itu dengan membangkitkan beberapa siri nahas jalan raya yang meragut nyawa individu tidak bersalah akibat pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.
Antara kes beliau ketengahkan tragedi di Kilometer 134 Jalan Kuala Lumpur–Kuantan yang mengorbankan pasangan suami isteri, R. Mathialagan, 35, dan isterinya S. Sathiasivam, 33, selepas kenderaan mereka dirempuh sebuah Porsche Cayenne yang dipercayai dipandu individu di bawah pengaruh alkohol.
Kata beliau, dalam satu lagi kejadian di Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah pula, tiga generasi dalam sebuah keluarga maut selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux.
Menurut beliau, mangsa yang terkorban ialah G. Sarasbathy, 65, S.R. Sarala Devi, 34, dan kanak-kanak berusia tiga tahun, S. Shaastika dengan pemandu terbabit dilaporkan positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes kemalangan Jalan Raya Barat, Klang meragut nyawa seorang lelaki tempatan berusia 20-an. Hasil ujian saringan awal mendapati pelaku positif dadah dan juga berada di bawah pengaruh alkohol (mabuk) semasa memandu. Mangsa ialah Amirul Hafiz Omar berusia 33 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Karthigeyen berkata, pindaan akta baru perlu dilaksanakan segera bagi mengenakan hukuman gantung atau hukuman penjara seumur hidup dan pampasan RM1 juta kepada keluarga waris tanpa kompromi.
Beliau turut meminta setiap kes disiasat dengan telus dan profesional supaya keadilan yang sama rata diberikan kepada semua keluarga mangsa. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial MK


