KUALA LUMPUR – Harga diesel di negara jiran iaitu Thailand, Indonesia dan Vietnam kini lebih rendah berbanding Malaysia yang merupakan negara pengeluar minyak.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, harga diesel di China juga lebih murah berbanding Malaysia.
“Perbandingan harga serantau menunjukkan harga diesel di negara jiran setakat 1 April kekal lebih rendah iaitu Thailand RM4.99 seliter, Indonesia RM1.60 (peribadi) hingga RM3.37 (komersial), Vietnam RM5.40 dan China RM4.80 seliter.
“Dengan harga diesel mencecah RM6.02 seliter, Malaysia berisiko menjadi antara negara dengan harga tertinggi di rantau ini walaupun kita merupakan negara pengeluar minyak dan gas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Takiyuddin berkata, kenaikan mendadak harga diesel dalam tempoh singkat dijangka memberi tekanan yang besar kepada perniagaan, rantaian bekalan dan kos sara hidup rakyat.
Justeru, katanya, kerajaan disaran mengenakan cukai durian runtuh atau cukai tenaga sementara ke atas industri minyak dan gas termasuk Petronas berikutan perkembangan dan keuntungan luar biasa yang dinikmati.
Selain itu, kata beliau, PN menuntut kerajaan menjelaskan unjuran harga diesel untuk beberapa bulan akan datang sama ada harga RM6.02 merupakan tahap harga maksimum atau tertakluk kepada pelarasan selanjutnya.
Katanya, kerajaan juga diminta menjelaskan Impak kenaikan tarif elektrik terhadap perniagaan dan inflasi serta langkah-langkah segera dan konkrit untuk melindungi perniagaan dan isi rumah daripada tekanan kos terkumpul. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Takiyuddin Haji Hassan


