KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan gelombang kritikan yang melabelkan dirinya sebagai ‘menteri paling gagal’ sebagai satu naratif yang disusun secara terancang oleh pihak tertentu.
Menurut beliau, serangan berterusan itu jelas menunjukkan wujud koordinasi apabila pelbagai media, sama ada arus perdana mahupun alternatif, memainkan isu sama dalam tempoh yang singkat.
“Sudah tentu serangan dan naratif ‘menteri gagal’ ini disusun; ada kumpulan berpengaruh di belakangnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, individu yang melancarkan serangan tersebut juga kebanyakannya tidak dikenali, namun tetap diberikan ruang meluas oleh media, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai motif sebenar.
Mengulas lanjut, Rafizi tidak menafikan bahawa beliau mempunyai kelemahan, namun menegaskan bahawa ‘kegagalan’ itu berpunca daripada prinsip yang dipegangnya.
“Saya gagal berdiam diri bila saya rasa ada rasuah. Lagi tinggi pangkat, lagi kuat saya bersuara,” ujarnya.
Beliau turut mengakui gagal untuk membodek demi kepentingan diri, walaupun tindakan itu menyebabkan dirinya berdepan pelbagai serangan, kecaman dan tekanan.
Selain itu, Rafizi berkata, beliau juga tidak pernah berhenti meskipun berdepan pelbagai siasatan dan tindakan undang-undang sejak 2010, termasuk pengalaman dilokap dan dipenjarakan.
Dalam nada lebih peribadi, beliau menyentuh pengorbanan keluarga yang turut terkesan dengan penglibatannya dalam politik.
“Yang paling saya gagal ialah saya gagal meletakkan kepentingan peribadi dan keluarga setelah saya pikul amanah sebagai ahli parlimen,” katanya.
Tegas beliau, meskipun berdepan tekanan termasuk ugutan terhadap keluarga, beliau tetap memilih untuk meneruskan perjuangan.
“Biarlah gagal di mata manusia, apatah lagi di mata pencacai berbayar, daripada gagal di mata Allah,” katanya lagi. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Rafizi Ramli


