Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR — UMNO mempelawa bekas ahlinya yang pernah digantung atau dipecat kembali kepada parti itu tanpa syarat, selain mengalu-alukan mana-mana individu yang ingin kembali menyertai perjuangan parti itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, parti itu melihat tempoh berkenaan sebagai masa sesuai untuk melakukan muhasabah diri, memperbaiki hubungan serta mengeratkan semula ukhuwah dalam kalangan umat Islam.
Menurut beliau, semangat Ramadan juga wajar dimanfaatkan untuk menghidupkan kembali kebersamaan dalam kalangan mereka yang pernah bersama parti itu sebelum ini.
“Sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada struktur organisasi semata-mata, sebaliknya kekuatannya terletak pada sokongan, komitmen dan kesepaduan ahli di setiap peringkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, atas dasar itu UMNO membuka pintu “Rumah Bangsa” seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dikenakan tindakan disiplin untuk kembali bersama parti tersebut.
Dalam masa sama, katanya, individu yang berminat untuk menyertai dan mendukung perjuangan UMNO juga dipelawa berbuat demikian.
“Dengan semangat Ramadan yang sarat dengan rahmat dan keampunan, segala perbezaan serta kekhilafan lalu dianggap selesai demi memulakan lembaran baharu untuk memperkukuh kembali keluarga besar UMNO,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Mohamed Khaled Nordin akan menyelaras proses berkenaan. – MYNEWSHUB


