Oleh Mynewshub
JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1447 Hijrah kepada seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada.
Baginda turut mendoakan agar kehadiran Syawal pada tahun ini membawa keberkatan, kesejahteraan serta kebahagiaan kepada semua umat Islam selepas sebulan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.
Titah baginda, Aidilfitri adalah waktu terbaik untuk memperkukuh silaturahim, saling bermaafan serta mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1447H kepada seluruh umat Islam di mana sahaja anda berada. Semoga kehadiran Syawal ini membawa keberkatan kepada kita semua,” titah baginda.
Dalam masa sama, baginda turut menitipkan pesanan penuh makna agar umat Islam sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Ilahi.
“Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin. Semoga Allah SWT Berkati semua umat Islam sedunia,” titah baginda lagi.
Ucapan tersebut mencerminkan keprihatinan dan kasih sayang Tunku Mahkota Ismail terhadap kesejahteraan rakyat serta seluruh umat Islam, khususnya dalam menyambut hari kemenangan yang penuh bermakna ini. – MYNEWSHUB


