Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail mendedahkan terdapat beberapa pihak dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tidak berpuas hati dengannya sejak dahulu kerana tidak dapat “membuat duit”
Menerusi satu kenyataan di platform X, baginda mendedahkan, terdapat individu tertentu yang pernah datang memintanya membantu mendapatkan projek selain memohon pertolongan supaya tidak disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Menurutnya, terdapat juga pihak yang kecewa apabila kerajaan menyalurkan dana kepada pasukan kebangsaan kerana ada individu yang tidak dilibatkan dalam bantuan tersebut.
“Ramai tak puas hati kerana ada yang tak terlibat. Jadi secara senyap berjumpa Ultras Malaya, beberapa orang media dan beberapa orang dalam social media. Untuk mula ‘campaign sabotage’ dan menggunakan pelbagai naratif,” titah baginda hari ini.
Baginda turut menjelaskan bahawa kes yang dibangkitkan oleh FIFA sebenarnya melibatkan isu pemalsuan dokumen dan bukannya kelayakan kerakyatan pemain.
“Case FIFA adalah case forgery. Bukan eligibility kerakyatan, tetapi forgery dan document submission. Siapa yang buat wrong submission? Agent dan siapa dalam FAM? Mengapa tak submit document yang legit dari JPN? Kerana nak selamatkan orang dalam, pemain dipersalahkan,” katanya.
Tambahnya, ketika hujahan dalam perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), pihak FIFA juga tidak dapat memberikan bukti bahawa pemain terlibat atau bersubahat dalam kes tersebut.
Baginda turut mempersoalkan mengapa kes berkenaan dilayan berbeza berbanding kes CAS sebelum ini melibatkan pemain wanita yang mengaku melakukan pemalsuan, tetapi hanya dikenakan hukuman 10 perlawanan bersama pasukan kebangsaan dan masih boleh beraksi bersama kelab.
“Orang dalam patut bertanggungjawab. Bukan lepas tangan dan gunakan penyokong dan media untuk jadikan saya kambing hitam,” titah baginda lagi. – MYNEWSHUB


