Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan fitnah berbaur perkauman serta ektremis agama yang sengaja dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab kebelakangan ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata,
Kerajaan Madani tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat ketenteraman awam melalui penyebaran fitnah, hasutan atau kenyataan berbaur perkauman.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus komited dalam memastikan perpaduan dan keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara.
“Ketika dunia dalam krisis, saya juga menggesa seluruh rakyat Malaysia bersatu hati di bawah ‘payung’ Kerajaan Madani pimpinan PMX supaya kita dapat mengharungi cabaran besar yang sedang melanda dunia berikutan peperangan yang berlaku di Iran dan Timur Tengah.
“Saya tegaskan negara memerlukan kestabilan dan keamanan untuk menghadapi cabaran akibat krisis Asia Barat, inilah masa semangat perpaduan perlu ditonjolkan demi kepentingan masa depan negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial semalam.
Terdahulu, Kor Ming mengingatkan rakyat jangan sekali terpengaruh atau bertindak balas terhadap provokasi puak-puak pelampau yang mempunyai agenda tersembunyi.
Menurut beliau, perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang.
“Saya juga menekankan bahawa peranan media amat penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Nga Kor Ming


