KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan beliau telah menghubungi rakan sejawatnya dari Iran, Seyed Abbas Araghchi bagi membincangkan perkembangan terkini di rantau Asia Barat.
Menurut beliau, perbualan yang berlangsung pada 24 Mac 2026 itu turut menyentuh kepentingan memastikan laluan maritim di Selat Hormuz kekal terjamin demi kestabilan ekonomi serta bekalan tenaga global.
“Alhamdulillah dapat menghubungi rakan sejawat dari Republik Islam Iran, TYT Dr Seyed Abbas Araghchi pada 24 Mac 2026 bagi membincangkan perkembangan terkini di rantau Asia Barat.
“Termasuk kepentingan menjaga laluan maritim di Selat Hormuz demi kestabilan ekonomi dan tenaga global,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Mohamad berkata, beliau turut menyatakan hasrat Malaysia kepada Seyed Abbas agar gencatan senjata yang menyeluruh dan kekal dilaksanakan segera.
Menurut beliau, kepentingan dialog dan diplomasi dalam meredakan ketegangan untuk menghentikan perang amat diperlukan ketika ini.
Kata beliau, Malaysia akan terus berperanan aktif dalam usaha-usaha diplomasi bagi mempromosikan keamanan dan keselamatan serantau.
Dalam hantaran berasingan, Mohamad memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat dari Oman, Sayyid Badr Hamad Al Busaidi tentang situasi di negara Teluk.
Menurutnya, beliau menyatakan kebimbangan Malaysia akibat serangan berterusan yang dilakukan oleh rejim zionis dan Amerika Syarikat terhadap negara Iran.
*Menyatakan sokongan terhadap usaha mediasi yang dilakukan oleh negara Oman dan berharap rundingan-rundingan melalui saluran diplomatik dapat diteruskan agar perang dihentikan serta merta,” katanya. – MYNEWSHUB


