MANILA – Seorang rakyat Malaysia dilaporkan maut selepas sebuah helikopter yang dinaiki terhempas di kawasan lapang di Pililla, wilayah Rizal, kira-kira dua jam perjalanan ke tenggara Manila, pagi tadi.
Menurut pihak berkuasa tempatan, helikopter tersebut membawa lima individu termasuk dua warga Malaysia ketika kejadian berlaku sekitar jam 7.27 pagi (waktu Malaysia).
Pegawai polis wilayah Rizal, Ramjae Pangga memaklumkan dua penumpang disahkan terkorban dalam insiden itu, masing-masing seorang warga Malaysia dan seorang rakyat Filipina.
Datuk Bandar Pililla, John Masinsin pula mengesahkan juruterbang mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan lanjut.
“Tiga mangsa yang terselamat masih dalam keadaan terkejut, terutamanya juruterbang,” katanya kepada media tempatan.
Setakat ini, punca nahas masih dalam siasatan pihak berkuasa Filipina. Pasukan penyelamat dilaporkan segera ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.
Kementerian Luar Malaysia dijangka akan mendapatkan laporan penuh berhubung insiden tersebut serta menghulurkan bantuan konsular kepada keluarga mangsa.
Perkembangan lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.


