KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berpandangan cadangan memotong elaun petrol Ahli Parlimen tidak memberikan penjimatan yang signifikan kepada kerajaan.
Menurutnya, beliau secara peribadi tidak menjadi masalah sekiranya kerajaan ingin melaksanakan cadangan tersebut, namun jumlah penjimatan yang diperoleh dilihat agak kecil.
Katanya, pengiraan kasar menunjukkan elaun sebanyak RM1,500 didarabkan dengan 222 Ahli Parlimen masih tidak memberi impak besar, lebih-lebih lagi selepas mengambil kira anggota kabinet yang tidak menerima elaun tersebut.
Beliau turut mengemukakan cadangan alternatif yang disifatkan lebih berkesan, iaitu dengan memansuhkan peruntukan RM3.5 juta kepada Ahli Parlimen kerajaan.
Jelasnya, langkah itu mampu menghasilkan penjimatan lebih besar dan boleh disalurkan terus kepada rakyat sebagaimana bantuan yang diberikan di kawasan Parlimen pembangkang.
“Bukankah itu lebih berkesan? Penjimatan sekitar setengah billion untuk setahun. Saya yakin kerajaan boleh bersetuju. Kemudian jika nak mansuhkan elaun petrol juga, terpulanglah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Fadhli Shaari


