KUALA LUMPUR – Artis senior tanah air, Aznil Nawawi, menggesa Kerajaan Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap seorang lelaki yang didakwa mencetuskan isu sensitif berkaitan agama, yang kini hangat diperkatakan di media sosial.
Menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya, Aznil yang merupakan tokoh seni berpengalaman dan disegani, secara terbuka menyeru kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bersama Jemaah Menteri serta pihak berkuasa agar mengenakan hukuman yang setimpal terhadap individu terbabit.
Menurut Aznil, isu berkaitan agama merupakan perkara yang amat sensitif dan tidak wajar dipermainkan oleh mana-mana pihak.
Beliau menegaskan bahawa permohonan maaf semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil sebagai pengajaran kepada pihak lain.

“Isu agama memang sensitif dan tak boleh dipermainkan. Permohonan maaf melalui kenyataan semata-mata adalah tidak mencukupi,” tulisnya dalam kenyataan tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa tindakan tegas amat penting bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia terus terpelihara, serta mengelakkan perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan antara komuniti.
Kenyataan Aznil itu mendapat perhatian meluas warga maya, dengan ramai netizen menyatakan sokongan terhadap pendirian beliau dan bersetuju bahawa tindakan undang-undang perlu diambil bagi mengekang sebarang perbuatan yang boleh menggugat keharmonian negara.


