KUALA LUMPUR – Beberapa jalan utama di sekitar ibu negara akan ditutup sementara secara berperingkat sempena Perarakan Kuil Sri Thandayuthapan ‘Panguni Uthiram’ esok.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, penutupan akan bermula seawal pukul 3 pagi hingga 9 pagi (laluan pergi) dan disambung semula pukul 9 malam hingga 11.59 malam (laluan balik)
“Penutupan melibatkan beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar termasuk Jalan Leboh Ampang, Jalan Tun Perak, Jalan Tun H.S Lee, Jalan Hang Lekir, Jalan Sultan, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Tun Razak (Jalan Pekeliling),” kata kenyataan itu.
Menurut DBKL, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif serta mematuhi arahan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan semua pihak. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Dewan Bandaraya Kuala Lumpur


