Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung memaklumkan beliau menerima permohonan maaf daripada seorang pemimpin DAP yang menyebarkan poster fitnah berkaitan dirinya di media sosial.
Beliau berkata, pertemuan tersebut berlangsung di Pejabat Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri di Menara DBKL hari ini selepas dihubungi oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman.
“Saya dihubungi oleh Pegawai Setiausaha Politik Perdana Menteri semalam yang bertanya sama ada saya sudi berjumpa dengan Lourdes Diccam dari DAP yang telah membuat hantaran poster fitnah terhadap saya. Saya bersetuju untuk bertemu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, dalam pertemuan hampir sejam itu, Lourdes Diccam telah memohon maaf atas kekhilafannya dan beliau menerima permohonan maaf tersebut dengan hati terbuka.
“Diccam memohon maaf kepada saya di atas kekhilafannya dan sebagai seorang muslim, saya menerima permohonan maafnya dengan hati terbuka khususnya dalam bulan Ramadan ini,” katanya.
Beliau berkata, pertemuan tersebut turut menyentuh pelbagai perkara termasuk prinsip dalam kehidupan dan politik serta beberapa isu semasa.
“Antara yang kami bincangkan ialah tentang prinsip dalam hidup atau berpolitik selain isu-isu semasa seperti isu kuil haram, perpaduan dan beberapa perkara lain,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan tokoh awam untuk berhati-hati sebelum menyebarkan sesuatu makluma dan menyiasat kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya.
Beliau turut menegaskan bahawa keharmonian dan perpaduan perlu bergerak seiring dengan pematuhan terhadap undang-undang.
Tambahnya lagi, beliau juga berkongsi pandangan agar prinsip etika perlu mengatasi kepentingan politik.
“Saya berkongsikan agar kita menjadikan ‘ethically right’ mengatasi ‘politically right’. Mungkin pandangan kita tidak popular untuk mendapatkan undi, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat tidur lena pada waktu malam,” katanya.
Sebelum berpisah, beliau berkata, beliau turut menghadiahkan terjemahan al-Quran kepada Diccam dan seorang lagi rakannya. – MYNEWSHUB
Sumber: FB Firdaus Wong


