Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Kenyataan PAS tidak bersedia untuk menyertai ‘Rumah Bangsa’ anjuran Presiden UMNO menunjukkan parti itu tidak berminat kepada masa depan Melayu dan Islam, sebaliknya mementingkan politik sendiri.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa mendakwa, pendekatan menghina serta menolak usaha itu hanya mengeruhkan lagi keadaan dan menajamkan lagi perpecahan Melayu dan umat Islam.
Dakwa beliau, ketika pelbagai pihak cuba membuka ruang dialog dan mencari titik pertemuan demi kepentingan umat dan negara, PAS berpendirian sebaliknya.
“Sehubungan itu, Amanah menyeru Melayu dan umat Islam supaya menolak politik yang memonopoli agama untuk menyerang dan merendahkan pihak lain.
“Malaysia memerlukan politik yang rahmah, beradab dan menyatukan, bukan politik yang memecah-belahkan masyarakat dengan retorik agama yang sempit dan penuh prasangka,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan pendirian PAS untuk tidak menyertai gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang diketengahkan oleh Presiden UMNO kerana menyifatkan konsep tersebut tidak berteraskan Islam.
Beliau dipetik sebagai berkata, PAS menghantar pemerhati bagi menghadiri pertemuan baru-baru ini sekadar memenuhi jemputan serta menilai sendiri hala tuju inisiatif yang diwar-warkan oleh UMNO.
Menurut beliau, pertemuan itu dilihat lebih kepada usaha menyatupadukan orang Melayu atas dasar kebangsaan semata-mata tanpa meletakkan Islam sebagai asas utama perjuangan.
Abdul Hadi turut menggunakan istilah ‘bisikan syaitan’ dan ‘hantu raya’ dalam kenyataan tersebut.
“Walaupun tanpa kehadiran wakil DAP, namun dapat dibaca segala yang tersirat. Hal ini demikian kerana, tetap bersahabat dan berwalak kepada DAP semata-mata untuk membentuk kerajaan,” kata Abdul Hadi. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Dr. Mujahid Yusof Rawa


