KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Nourul Depp memilih Mimi Fly sebagai artis jemputan bagi konsert solo ‘For You Nourul’ yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Mei depan.
Menurut Nourul, pemilihan Mimi Fly dibuat atas dasar kekuatan aura dan keserasian mereka sebagai dua penyanyi wanita yang berkongsi pengalaman hampir sama dalam industri.
“Saya mahukan elemen women empowerment. Mimi datang dengan pakej tersendiri, itu kelebihan dia. Kami nampak ‘energy’ kami sama.
“Saya pilih Mimi Fly kerana keunikan dia dan dia mampu berduet dengan saya. Sebagai artis, kita juga meminati rakan artis lain, tapi Mimi antara kegemaran saya.
“Mungkin saya lebih senior dan dia junior, tetapi cabaran yang dia hadapi hari ini sama seperti yang pernah saya lalui. Itu yang saya mahu kongsikan,” katanya pada sidang media di Smith & Wollensky KL hari ini.
Sementara itu, Mimi Fly meluahkan rasa terharu atas kepercayaan yang diberikan serta peluang untuk berkongsi pentas bersama penyanyi yang menjadi inspirasinya sejak kecil.
“Kakak Nourul Depp selalu beri sokongan dan kata-kata semangat kepada Mimi. Bila dia kata nak buat konsert, saya sangat teruja dan gembira kerana saya membesar dengan mendengar lagu Kak Nourul.
“Kita akan berikan yang terbaik untuk peminat,” katanya.
Konsert berkenaan pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 17 April 2026, namun telah ditunda ke 30 Mei 2026 atas faktor tertentu.
Pertimbangan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk menghormati dan memberi laluan kepada dua perayaan penting umat Islam iaitu Aidilfitri serta Aidiladha.
Tiket konsert boleh didapati mengikut kategori harga berikut:
RM198 – Sehati Sejiwai
RM298 – Cinta Azali
RM328 – Keliru
RM388 – Kerana Terluka
RM6,000 – VIP Box
Orang ramai boleh mendapatkan tiket menerusi laman sesawang rasmi Ticket2U. – MYNEWSHUB


