KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan yang didapati terlibat dalam aktiviti meminta wang perlindungan akan dipecat serta-merta tanpa sebarang kompromi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pendirian pihaknya adalah jelas iaitu tiada toleransi terhadap sebarang bentuk wang perlindungan atau amalan orang tengah.
“Saya merujuk kepada satu video tular dipercayai berlaku di Wangsa Maju dan telah menimbulkan kebimbangan ramai. Sehubungan itu, saya telah mengarahkan laporan polis dibuat hari ini dan siasatan dimulakan serta-merta.
“Jika dakwaan ini terbukti benar, ahli MPP berkenaan akan dipecat serta-merta tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Hannah seterusnya meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan kepada Unit Integriti JWP, DBKL dan SPRM sekiranya terdapat sebarang salah laku.
“Kerjasama rapat antara JWP dan SPRM telah diperkukuh bagi memastikan setiap aduan disiasat secara telus dan tindakan tegas dapat diambil,” katanya.
Aduan boleh dibuat melalui portal rasmi JWP (https://www.jwp.gov.my/a/2060), SPRM (https://portaladuan.sprm.gov.my/) dan DBKL (https://adukl.dbkl.gov.my/) – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Hannah Yeoh


