Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Satu rakaman audio melibatkan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus tular di media sosial apabila beliau menjelaskan mengenai hukum menyokong Iran dalam konflik menentang musuh Islam walaupun negara itu berfahaman Syiah.
Dalam rakaman berdurasi kira-kira dua minit itu, beliau menjawab persoalan berhubung sokongan terhadap Iran sedangkan perbezaan akidah antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah sering menjadi polemik.
Menurutnya, hukum menyokong Iran dalam konteks peperangan terhadap musuh Islam adalah dibolehkan, namun ia tidak bermaksud menyokong fahaman Syiah.
“Isu menyokong Iran berperang dengan musuh Islam… hukumnya boleh. Yang tak boleh menyokong tentang syiah di Iran. Dalam bahagian akidah, kita bermusuh dengan syiah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perbezaan akidah tetap wujud dan tidak boleh dikompromi, namun dalam konteks menghadapi musuh yang sama, kerjasama dibenarkan.
“Dalam bahagian berperang dengan musuh Islam, syiah pun tak ada masalah. Kerana ini bukan dalam bahagian akidah syiah. Dalam bahagian membantu untuk melemahkan musuh Islam,” jelasnya lagi.
Bagi memudahkan kefahaman, beliau memberi analogi situasi darurat:
“Kalau rumah terbakar, boleh guna orang kafir. Tapi kalau nak solat, tak boleh imam orang kafir. Ada benda boleh, ada benda tak boleh,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama tersebut hanya terhad dalam urusan tertentu dan tidak melibatkan soal pegangan akidah.
“Dalam akidah tentu kita berbeza. Kita tidak sama dengan mereka. Tapi dalam bahagian bersatu untuk menentang musuh yang paling zalim yang mengkhianati umat Islam, boleh,” ujarnya. – MYNEWSHUB
