KUALA LUMPUR – Pembangkang mendesak kerajaan mengambil langkah lebih tegas dengan mengkaji pelaksanaan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ia sebagai mesej jelas nyawa manusia tidak boleh dipandang ringan dan sebarang tindakan membahayakan orang lain akan berdepan akibat paling berat.
“Apabila seseorang berada di bawah pengaruh alkohol tetapi tetap memilih untuk memandu, undang-undang sewajarnya menganggap bahawa dia mempunyai niat untuk membunuh kerana tindakannya itu secara nyata berisiko tinggi meragut nyawa orang lain.
“Nyawa yang hilang tidak dapat diganti. Sudah tiba masanya tindakan lebih drastik diambil demi melindungi keselamatan rakyat dan memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, blok pembangkang memandang serius insiden tragis yang berlaku di Klang semalam yang sekali lagi meragut nyawa tidak berdosa akibat perbuatan pemandu di bawah pengaruh alkohol.
Menurut beliau, kejadian itu bukan sekadar satu kemalangan, tetapi satu bentuk kecuaian melampau yang seharusnya dianggap sebagai jenayah berat terhadap masyarakat.
Kata beliau, hukuman sedia ada masih gagal memberikan kesan pencegahan yang mencukupi.
“Insiden seumpama ini terus berulang, membuktikan bahawa pendekatan undang-undang ketika ini tidak lagi memadai untuk menangani isu pemanduan mabuk yang semakin membimbangkan.
“Kerajaan perlu segera meminda undang-undang sedia ada, termasuk memperketatkan penguatkuasaan serta memperluaskan kesedaran awam mengenai bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Wan Ahmad Fayhsal


