Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus meluahkan rasa hairan terhadap sikap segelintir pihak yang didakwa lebih memikirkan soal merobohkan rumah ibadat agama lain berbanding memperkukuh dakwah dan akhlak.
Menurut beliau, sekiranya benar wujud umat Islam yang bangun tidur dengan memikirkan kuil mana untuk dirobohkan, perkara itu amat membimbangkan.
“Saya menzahirkan rasa hairan saya kalau ada umat Islam (saya ulang; kalaulah ada) mereka yang bangun tidur; memikirkan kuil mana untuk dirobohkan hari ini, lebih daripada menyusun strategi dakwah dan penampilan akhlak mulia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Hasanuddin yang juga bekas Yang Dipertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) turut menegaskan bahawa Islam sama sekali tidak menggalakkan tindakan menghina atau merobohkan rumah ibadat agama lain sewenang-wenangnya.
Malah, katanya, dalam situasi peperangan sekalipun, rumah sembahan agama lain tidak boleh diserang atau dirobohkan kecuali atas sebab tertentu.
“Sebagai contoh; terdapat tentera musuh bersenjata yang menjadikannya kubu untuk menyerang kembali, atau wanita-wanita yang bersembunyi tetapi ada bukti mereka bersenjata untuk menyerang,” katanua.
Dalam pada itu, Hasanuddin turut berkongsi pengalaman menerima kunjungan dua individu bukan beragama Islam ke kediamannya, yang menurutnya amat dihargai dan mencerminkan suasana manis rakyat Malaysia.
Beliau yang juga pemimpin parti Amanah memaklumkan bahawa kunjungan tersebut membuka ruang kepada interaksi antara masyarakat berbeza latar belakang, termasuk perbezaan warna kulit, bahasa ibunda dan anutan agama.
Katanya, situasi itu mengingatkan beliau kepada tujuan penciptaan manusia oleh Allah SWT yang penuh dengan kepelbagaian.
“Mereka bersetuju pembelaan kepada pemilik tanah yang telah diceroboh tetap wajib segera diselesaikan dan perlu mengikut proses yang sewajarnya,” ujarnya lagi.
Beliau turut menjangkakan lebih ramai pihak akan datang menziarahi beliau dan keluarga, namun menyerahkan soal kemampuan masa kepada ketentuan Allah SWT. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus


