GEORGETOWN – Seorang bilionair Sweden dilaporkan menyumbang dana besar bagi membantu kanak-kanak terjejas di Gaza, sekali gus mencuri perhatian dunia di tengah konflik berterusan di wilayah itu.
Roger Akelius dilaporkan menyalurkan sumbangan sebanyak 800 juta kronor Sweden (sekitar USD76 juta atau lebih RM350 juta) melalui UNICEF bagi menyokong program pendidikan dan perlindungan kanak-kanak.
Menurut laporan, dana tersebut akan menjadi sebahagian daripada pakej keseluruhan berjumlah 1.2 bilion kronor Sweden, termasuk sumbangan daripada kerajaan Sweden, yang akan diagihkan dalam tempoh beberapa tahun.
Program bantuan itu dijangka memberi manfaat kepada ratusan sekolah dengan menyediakan gaji guru, makanan, bekalan pendidikan serta bantuan psikososial kepada kanak-kanak yang terkesan akibat konflik.
Selain itu, inisiatif tersebut turut meliputi penyediaan air bersih dan vaksinasi bagi memastikan kebajikan serta kesihatan kanak-kanak terus terjamin.
Bagaimanapun, laporan tersebut menyatakan bahawa dana berkenaan adalah sebahagian daripada program lebih luas UNICEF dan tidak tertumpu sepenuhnya kepada Gaza sahaja.
Sumbangan besar ini dilihat sebagai antara usaha signifikan oleh pihak swasta dalam membantu krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di rantau berkenaan.


