Oleh Mynewshub
TENOM: Sebuah keretapi yang membawa beberapa guru dari Sekolah Kebangsaan Pangi, Tenom dilaporkan mengalami masalah brek gagal berfungsi dalam satu kejadian mencemaskan pada pagi tadi.

Menurut maklumat yang dikongsikan, insiden itu berlaku ketika keretapi berkenaan sedang melalui laluan berhampiran kampung di Pangi.
Keadaan menjadi cemas apabila brek keretapi didakwa tidak berfungsi seperti sepatutnya.
Bagaimanapun, tindakan pantas beberapa penduduk kampung yang meletakkan troli motosikal di atas landasan berjaya membantu memperlahankan dan menghentikan keretapi tersebut sekali gus mengelakkan kemungkinan tragedi lebih buruk.
Setakat ini, tiada laporan rasmi mengenai sebarang kecederaan dilaporkan melibatkan guru-guru atau penumpang lain.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak yang berkongsi maklumat tersebut memohon agar Jabatan Keretapi Negeri Sabah menjalankan siasatan penuh terhadap insiden berkenaan serta mengambil langkah segera bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin dan kejadian sama tidak berulang.
Selain itu, beliau turut menggesa Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) supaya mempercepatkan pelaksanaan projek jalan raya Tenom–Pangi yang sebelum ini diluluskan oleh Ketua Menteri Sabah pada awal tahun 2025.
Difahamkan, kontraktor bagi projek tersebut juga telah dilantik.
Projek jalan raya berkenaan dilihat sebagai keperluan mendesak bagi penduduk setempat yang selama ini bergantung kepada perkhidmatan keretapi sebagai laluan utama keluar masuk kawasan pedalaman berkenaan.
Orang ramai kini menantikan kenyataan rasmi pihak berkuasa berhubung insiden tersebut.- MYNESHUB
Kredit: Jamawi Jaafar


