Oleh Mynewshub
WASHINGTON – Sebuah kumpulan penggodam yang dikenali sebagai Handala Hack Team mendakwa berjaya menceroboh akaun emel peribadi Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel, dalam satu insiden yang mencetuskan kebimbangan serius terhadap keselamatan siber Amerika Syarikat.

Menurut paparan laman web yang dipercayai dikendalikan kumpulan tersebut, mereka mendakwa telah mengakses pelbagai maklumat sensitif milik Patel termasuk emel, perbualan sulit serta dokumen yang diklasifikasikan.
Dalam kenyataan provokatif yang dimuat naik, kumpulan itu turut menyindir sistem keselamatan FBI yang sebelum ini dianggap “kebal”, sambil mendakwa semua data berkenaan kini tersedia untuk dimuat turun oleh umum.
Kumpulan Handala Hack Team yang didakwa mempunyai kaitan dengan Iran turut menyatakan bahawa serangan itu sebagai tindak balas terhadap tindakan pihak berkuasa Amerika yang sebelum ini menawarkan ganjaran berjuta dolar untuk memburu ahli mereka.
Bagaimanapun, setakat ini pihak FBI belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pencerobohan itu benar-benar berlaku atau sekadar propaganda siber.
Pakar keselamatan siber sebelum ini memberi amaran bahawa serangan terhadap individu berprofil tinggi, khususnya pegawai kerajaan, boleh memberi implikasi besar terhadap keselamatan negara sekiranya melibatkan kebocoran maklumat sulit.
Insiden ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada peningkatan perang siber antara kuasa besar dunia, terutama dalam konteks ketegangan geopolitik yang semakin memuncak ketika ini.
Perkembangan lanjut masih dinantikan.
**Video yang disertakan dalam post ini mula viral di serata dunia sejak malam tadi. Belum ada pengesahan rasmi apakah ia benar-benar Kash Patel atau pelanduk dua serupa.


