PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama dengan Pejabat Penipuan Serius United Kingdom (SFO UK) dalam siasatan berterusan kes IJM Corporation Bhd berhubung dakwaan pengubahan wang haram membabitkan transaksi bernilai RM2.5 bilion.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata agensi Britain itu turut menjalankan siasatan tersendiri terhadap kes berkenaan, dengan kedua-dua pihak mengekalkan komunikasi aktif.
“Kami sedang berkoordinasi dengan mereka. Terdapat prosedur tertentu yang perlu dipatuhi dalam pengumpulan bukti, namun saya tidak menjangka sebarang isu besar,” katanya pada sesi khas bersama media di sini, hari ini.
Azam berkata, walaupun SPRM dan SFO mempunyai skop siasatan berbeza, kedua-dua agensi komited untuk bekerjasama bagi melancarkan proses siasatan.
“Kami sedang dalam proses pertukaran maklumat. Proses ini mengambil masa, namun kami optimis kerjasama ini akan membawa manfaat bersama kepada kedua-dua agensi,” katanya.
Beliau berkata, siasatan rentas sempadan memerlukan pematuhan kepada kerangka perundangan dan protokol yang ditetapkan, khususnya berkaitan pengumpulan bukti serta perkongsian maklumat antara bidang kuasa.
Mengulas peranan Tan Sri Krishnan Tan yang dikenal pasti sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif, Azam berkata, SPRM akan menentukan sama ada sebarang kesalahan atau salah laku dilakukan termasuk kemungkinan penyalahgunaan dana syarikat.
Beliau berkata, siasatan masih berjalan dan perkembangan lanjut dijangka diperoleh selaras dengan kemajuan kerjasama antara pihak berkuasa Malaysia dan Britain.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan menahan seorang eksekutif pengurusan tertinggi IJM Corporation Berhad sebagai sebahagian siasatan terhadap dakwaan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai RM2.5 bilion.
Sumber memaklumkan, suspek iaitu lelaki berusia lingkungan 70-an, ditahan kira-kira jam 7 malam pada 4 Februari lalu di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya susulan serbuan di kediamannya.
Pada 19 Januari lalu, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM melancarkan siasatan terhadap suspek berhubung transaksi kewangan dan pemilikan aset bernilai RM2.5 bilion di luar negara.
Susulan itu, SPRM membekukan 70 akaun bank persendirian dan syarikat dikaitkan dengan kes berkenaan, membabitkan kira-kira RM30.6 juta.
Sumber berkata, penyiasat sedang berusaha mengesan dan menyita aset lain yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.
Setakat ini, 15 saksi termasuk isteri suspek dipanggil bagi merakam keterangan.
BHonline-


