SUNGAI BULOH: Agihan dividen yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikreditkan terus ke dalam akaun masing-masing mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata berdasarkan Akta KWSP 1991, sebarang agihan dividen tidak boleh dipindahkan atau disalurkan merentasi akaun.
Beliau menegaskan, setiap pembayaran dividen adalah tertakluk kepada struktur akaun yang ditetapkan dan perlu dimasukkan ke dalam akaun yang sepadan dengan baki simpanan ahli.
“Di bawah Akta KWSP sedia ada, dividen mesti dikreditkan ke dalam akaun yang betul. Jika simpanan berada dalam Akaun 1 atau Akaun 2, dividen perlu dimasukkan ke dalam akaun berkenaan.
“Kita tidak boleh mengambil dividen daripada akaun lain dan menyalurkannya ke Akaun 3,” katanya pada sidang media pengumuman prestasi kewangan KWSP, di sini, hari ini.
Ahmad Zulqarnain berkata, ketetapan itu adalah selaras dengan kerangka perundangan serta prinsip pengurusan simpanan persaraan yang diamalkan KWSP bagi memastikan integriti dan ketelusan pengagihan dividen kepada lebih 16 juta ahlinya.
Akaun 3 tetap layak dapat dividen mengikut purata baki harian
Sementara itu, pencarum yang menyimpan dalam Akaun 3 tetap layak menerima dividen 6.15 peratus bagi tahun kewangan 2025.
Bagaimanapun, katanya, agihan itu dibuat berdasarkan baki sebenar dalam setiap akaun, bukan secara pukal.
Dividen akan dikreditkan mengikut baki purata harian dalam Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan Akaun Fleksibel (Akaun 3), dan bukannya tertumpu kepada satu akaun sahaja.
“Jika pencarum sudah mengeluarkan keseluruhan simpanan dalam Akaun Fleksibel, maka akaun itu tidak akan menerima dividen. Pengiraan dibuat berdasarkan baki purata harian setiap akaun,” katanya.
Tahun kedua kadar dividen sama untuk Konvensional dan Shariah
KWSP mengumumkan kadar dividen 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah, menandakan tahun kedua berturut-turut kadar yang sama diberikan kepada kedua-dua dana.
Bagi prestasi jangka panjang, Simpanan Konvensional mencatat pulangan terkumpul lima dan 10 tahun masing-masing 5.88 peratus, manakala bagi tempoh 15 dan 20 tahun adalah 6.03 peratus dan 5.87 peratus.
Simpanan Shariah pula merekodkan pulangan terkumpul lima dan 10 tahun sebanyak 5.65 peratus dan 5.60 peratus.
BHonline-


